BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 10, 2009

Harian Metro 10/08/2009

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi tanggungjawab menjayakan Pesta Konvo sempena majlis Istiadat Konvokesyen ke-11 yang berlangsung esok sehingga 15 Ogos ini di Dewan SITC, kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim, Perak.

Naib Yang Dipertua MPPUPSI merangkap Pengarah Program, Syaifuldin Mohamed, berkata walaupun pihak universiti berwaspada membendung wabak H1N1, ia tidak menghalang anggota MPP dan jawatankuasa pelaksana merancang pelbagai program.
Beliau berkata, semua gerak kerja pesta konvo bersemangat melaksanakan semua tugasan diberikan agar apa yang dirancang berjalan dengan sempurna.

“Walaupun wabak H1N1 semakin menular dan pihak universiti giat membendungnya, ia tetap tidak melunturkan semangat barisan MPP dan jawatan kuasa pelaksana.

“Kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni serta Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni, Profesor Dr Shaharudin Abd Aziz menjadi pembakar semangat kami menggembling tenaga melaksanakan program,” katanya.

Bertemakan Pendidikan Gemilang UPSI Bitara, Syaifuldin berkata aktiviti yang dianjurkan sepanjang pesta konvo ini akan membabitkan pelajar sekolah sekitar Tanjung Malim.

Katanya, ini bagi mendedahkan mereka budaya aktiviti kampus sekali gus menyuntik semangat mereka berusaha meningkatkan prestasi akademik.

“Kami juga menjemput masyarakat setempat serta keluarga graduan mengunjungi lebih 60 gerai pameran dan jualan membabitkan pelbagai jenis barangan seperti produk kesihatan, pakaian, makanan dan telekomunikasi,” katanya.

Selain majlis perasmian, pesta konvo itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan, Jaclyn Victor.

“Kami turut menganjurkan aktiviti di kolej kediaman antaranya Pertandingan Futsal Piala Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni serta gerai-gerai jualan.

“Di hari kedua, kemeriahan pesta konvo diteruskan dengan aktiviti seperti Cabaran Teh Tarik Tertutup UPSI, Pertandingan Seni Khat, Pertandingan Produk dan Gemerlapan Bintang Istimewa oleh pelajar program Pendidikan Khas UPSI,” katanya.

Acara senamrobik bersama Celcom, Celcom Mini Explorace serta UPSI Idol bersama Celcom dan Faizal Tahir menambahkan kemeriahan di hari ketiga.

Selain itu, aktiviti menderma darah Nationwide anjuran kolej Ungku Omar, Pertandingan Kolej Pelajar Taska, Forum Perdana dan Pertandingan Nasyid UPSI yang menampilkan kumpulan nasyid jemputan, SaffOne pada hari keempat.

0 comments: